Leaderboard

Biodata






Keletahnya sering saja mengundang perhatian walau di mana saja berada. Baik dewasa mahupun seusia dengannya, pasti tidak melepaskan peluang melihat aksi manja bersahaja sambil meminta untuk mengambil gambar bersama.
Ketika majlis pelancaran koleksi Hari Ibu Pandora di Bangsar Village baru-baru ini, dia yang ditemani ibu dan ayah pantas memberikan aksi bersahaja bersama selebriti lain, sambil menyerlahkan bahasa badan ala peragawati dengan senyuman terukir di bibir. 
Pemilik nama sebenar Mia Sara Nasuha Muhammad Ridhuan, 8, ketika ini cukup dikenali bukan disebabkan populariti kerana tampil sebagai pengacara juga berlakon dalam drama mahupun filem. Tetapi kerana dia punya personaliti tersendiri yang mampu membuatkan sesiapa saja ‘geram’ kagum, tersenyum dan ketawa melihat aksinya. 

Malah, keyakinan diri yang ditunjukkan tatkala berhadapan orang ramai begitu berbeza dibandingkan rakan seusia. Langsung tidak nampak riak takut, malu atau gementar ketika sedang bekerja, sebaliknya bertukar watak menjadi kanak-kanak pemalu dan pandai menyesuaikan diri sekiranya baru pertama kali bertemu.
Mia Sara

Ketika ditemu ramah, kelihatan keakraban Mia bersama ibu tirinya Nor Amisah Othman yang dipanggil mama. Sesekali ibunya memperbetulkan juntaian rambut sambil memeluk dan mengusap lembut rambutnya.

Menurut Nor Amisah, Mia anak yang baik dan tidak banyak kerenah. Dia juga seperti kanak-kanak lain yang suka bermain, mengusik adik-beradik lain, menonton televisyen dan makan makanan kegemarannya. Oleh kerana dia seorang yang aktif mengikuti pembelajaran di sekolah, berlakon, mengacara serta memenuhi undangan untuk pelbagai acara, sebagai ibu Amisah menjaga kesihatan dan pemakanan Mia. 

“Apa yang saya perhatikan sejak kecil, Mia penggemar ikan, telur dan makanan laut seperti ketam dan sotong. Dia juga seperti kanak-kanak lain kurang makan sayur, namun saya lebihkan dengan pengambilan makanan tambahan seperti multivitamin supaya Mia dalam keadaan sihat dan cergas,” katanya yang mempunyai tiga anak lain hasil perkongsian hidup dengan Muhammad Ridhuan Muhammad Saleh. 

Bersekolah dalam tahun dua di Sekolah Kebangsaan Kota Damansara, menurut Ridhuan, ramai beranggapan Mia dihantar ke sekolah swasta disebabkan populariti dan ramai mengenalinya, namun sebenarnya tidak. Ini kerana sebagai ketua keluarga yang hidup secara sederhana dan bekerja makan gaji, Ridhuan beranggapan biarlah anaknya membesar dalam keadaan sama seperti kanak-kanak lain. 

“Sejak kecil saya memberikan asuhan yang sama kepada Mia dari segi menyediakan keperluan harian sehingga kepada pembelajarannya. Tetapi, disebabkan dia masih bersekolah dan pada masa sama perlu mengikuti jadual yang padat dalam aktiviti seni, saya mengambil tutor bagi mengajar mata pelajaran yang sering ketinggalan. Alhamdulillah, setakat ini tiada masalah, malah guru sekolah juga faham dengan jadual Mia. Sebaiknya, saya memilih untuk mengehadkan lakonan hanya pada cuti sekolah, namun ada juga tawaran datang bukan pada waktu cuti sekolah,” ujarnya. 

Mengakui sisi peribadi Mia yang kelihatan mewah berbanding usia yang baru menjangkau lapan tahun, menurut Ridhuan, dia hanya memenuhi tuntutan industri yang meminta anaknya melakonkan watak anak kepada golongan berada yang manja dan disayangi. 

Namun dari segi lain, dia tidak mahu Mia terdedah kepada kemewahan sebaliknya inginkan Mia merasai sendiri dan belajar menghargainya. 

“Saya faham apabila berlakon dia banyak belajar perkara baru. Kadang-kadang apa yang dipelajari tidak sesuai dengan usia yang masih mentah. Jadi saya kena sentiasa ingatkan dia. Pernah satu ketika dia minta saya belikan jam tangan berjenama. Mungkin dia sendiri masih belum faham mengenai jenama dan mendengar daripada orang dewasa jadi saya jelaskan padanya apa yang diminta itu mahal dan tidak dapat dipenuhi buat masa ini,” katanya jujur. 

Menyedari apa yang dilakukan Mia kini menjadi punca pendapatan keluarga, Ridhuan tidak menunaikan sepenuhnya permintaan Mia sebaliknya memberikan wang belanja persekolahan dan melihat bagaimana Mia menguruskannya. 

“Biasanya saya memberikan RM10 sehingga RM20 untuk belanja sekolah dan kebanyakannya habis dibelanjakan Mia,” katanya ketawa. 

Ridhuan yang kini menyediakan pengurus bagi menemani Mia ke lokasi penggambaran mengakui, pada mulanya dia hanya inginkan Mia menceburi bidang pengiklanan dan bukannya lakonan. 

Semuanya bermula pada usia dua tahun, ketika berjalan di pusat beli-belah dia didatangi agensi daripada syarikat pengiklanan yang meminta Mia datang menjalani uji bakat. 

“Memang ketika itu saya sendiri teringin melihat Mia berlakon iklan kerana dia seorang kanak-kanak yang mudah didampingi dan mesra. Tetapi tidak sangka selepas banyak iklan, minat Mia beralih kepada lakonan selepas menerima tawaran pertama drama Adamaya,” ujarnya. 


Banyak tawaran berlakon 

Apabila usia meningkat empat tahun, Mia mendapat tawaran berlakon drama. Melihat kesungguhan dalam drama Adamaya, Mia dihujani banyak tawaran berlakon yang menyebabkan dia tidak dapat menolak. Walaupun masih pada usia muda, Ridhuan banyak mendidik Mia berfikir secara orang dewasa dengan memberikan peluang kepada anaknya membuat keputusan sendiri. 

“Saya tanya kepada Mia sama ada dia ingin berlakon atau sebaliknya dan Mia mengakui memang dia seronok dengan apa yang dilakukan dan berjanji melakukan dengan bersungguh-sungguh. Saya juga tidak mahu dia ketinggalan dalam pelajaran dan berusaha untuk menyeimbangkan kedua-duanya. 

“Saya akui apa yang dilakukan Mia hari ini membabitkan masa depannya, namun saya juga tidak mahu mengenepikan keinginannya. Jadi saya beri peluang supaya dia melakukan apa yang disukainya dan bertanggungjawab dengan apa saja tugasan yang diberikan,” katanya. 

Cabaran utama yang harus dilalui Mia adalah menjadi buruan peminat tanpa mengira usia. Daripada kanak-kanak, mak cik sehingga nenek meminatinya. Malah, di sekolah Mia turut menjadi tumpuan kawan. Mujur dia pandai membawa diri di sekolah dan disenangi teman. 

Ditanya sampai bila Mia akan terus berlakon, sambil tersenyum Ridhuan mengatakan yang itu semua terpulang kepada Mia. Pada masa kini, dia tidak mahu menghalang keinginan anaknya untuk berlakon. Namun, jika sampai masanya dia memberitahu ingin berhenti dan menumpukan perhatian kepada pelajaran, sebagai bapa sudah pasti Ridhuan akan menurutinya. 

“Saya faham sampai masanya Mia pasti akan berfikir sendiri apa yang dia mahukan dalam hidup. Saya hanya memberi galakan supaya Mia melakukannya dengan bersungguh-sungguh, namun pelajaran masih menjadi keutamaan. 

“Walau apa juga dilakukan, pelajaran berada di tempat paling tinggi. Walaupun suatu hari nanti dia mahu menjadikan lakonan sebagai kerjaya, saya akan pastikan Mia menjadi pelakon berilmu dan memiliki ijazahnya sendiri,” katanya. 


PROFIL: 

Nama: Mia Sara Nasuha Muhammad Ridhuan 
Nama komersial: Mia Sara 
Tarikh lahir: 30 September 2005 
Umur: 8 tahun 
Keluarga: Anak ketiga daripada empat beradik 
Kerjaya: Pelakon, model, pengacara 
Asal: Kuala Lumpur 

Drama/Telefilem: Adamaya, Epilog Syurga Cinta, Tiramisu, Zoo The Series dan Begitukah Cinta, Pengorbanan Terakhir dan Cuak Astro Ceria 

Filem: Nur Kasih The Movie, Sekali Lagi dan Papa I Love You 

Antara iklan televisyen: Produk susu kanak-kanak, Astro Beyond, pelembut pakaian Softlan, Bank Islam dan syarikat telekomunikasi seperti Celcom dan TM. 

Pengacaraan: Kan Dah Kena Astro Ceria